Allah swt tidak menjadikan nabi di kalangan wanita. Tetapi Allah swt memuliakan wanita di dalam Al-Quran dengan menamakan surah -An nisa'-.
Manusia yang pertama beriman kepada Allah swt selepas Rasulullah saw ialah wanita -Khadijah r.anha-.
Manusia pertama yang syahid kerana agama Allah juga adalah wanita - Sumayyah r.anha -.
Dan Allah juga mengangkat perbuatan Siti Hajar r.anha yang juga seorang wanita yang berlari-lari antara Safa dan Marwah di dalam rukun haji, iaitu saie.
Wanita adalah yang paling mudah memasuki syurga tetapi wanita jugalah yang paling ramai menjadi penghuni neraka. Sabda Nabi yang mafhumnya; "Wanita yang solat 5 waktu, berpuasa di bulan Ramadhan dan mentaati suaminya, maka masuklah dia ke syurga melalui mana-mana pintu yang disukainya".
Masya Allah, senang bunyinya. Tapi hakikatnya tidaklah semudah itu. Jika kita lihat bagaimana pengorbanan Siti Khadijah r.anha, tentunya kita takkan dapat tiru apa yang beliau telah lakukan. Sebelum memeluk Islam dan menjadi isteri Rasulullah saw, beliau ialah seorang hartawan, peniaga yang mashyur dan terkenal. Tetapi sebaik sahaja beliau beriman kepada Allah, seluruh hartanya diinfaqkan(dibelanjakan) ke jalan Allah swt. Sehinggakan di akhir hayatnya, ketika di pangkuan Rasulullah saw, katanya "Ya Rasulullah, jika tulang belulangku ini dapat dijadikan jambatan untuk keluar ke jalan Allah, maka ambillah. Aku redha ya Rasulullah".
Begitu juga kisah Sumayyah r.anha yang semua ahli keluarganya habis di bunuh oleh pembesar kafir Quraisy. Iman di dadanya sedikitpun tidak goyah hatta nyawanya menjadi korban kerana dia yakin, syurga Allah telah menantinya.
Kesabaran dan ketaatan Siti Hajar r.anha kepada suaminya dan iman yang kental terhadap Tuhannya, membuatkan beliau tidak sedikit pun gentar ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir yang panas, yang tiada asbab untuk hidup bersama bayinya Nabi Ismail a.s yang masih merah. Tetapi Allah Maha Besar, setiap hamba yang taat kepadaNya akan dibalas dengan kebaikan. Dari hentakan kaki nabi Ismail a.s, maka terpancutlah air zam-zam yang Allah janji tidak akan kering sehingga hari Kiamat.
Allahu Akbar!. Betapa besarnya pengorbanan para sahabiah r.anha ketika itu. Sanggup kehilangan harta, suami, anak-anak demi agama Allah swt. Kerana mereka yakin dengan janji Allah swt, Allah telah beli diri, harta dan masa orang mukmin dengan syurga Allah swt. Apa lagi yang kita harapkan jika Allah swt sendiri dah tawarkan syurgaNya untuk kita? But for sure, ada harga yang perlu dibayar untuk mendapatkan ganjaran itu. Dan dunia ini adalah tempat untuk kita membuktikannya. Sabda Rasulullah saw yang mafhumnya, "Dunia itu adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir".
Ya ALLAH ! Kurniakan diriku kekuatan dan kelebihan untuk menjadi wanita yang solehah.
0 suRat ciNtA:
Post a Comment