Masih ingat kisah Masyitah? Salah seorang serikandi Islam yang dijanjikan syurga oleh Allah kerana tekadnya beliau memegang tauhid Allah hingga ke hujung nafasnya. InsyaAllah, mari kita susuri kisah tokoh Islam yang sangat berani ini, lalu mengambil kekuatan daripada beliau, betapa kukuh pegangannya memegang tali Allah.
Di antara mereka yang beriman dengan dakwah dan seruan Nabi Musa a.s ialah keluarga Masyitah dan suaminya Hazaqil. Hazaqil ialah seorang yang amat dipercayai oleh Fir’aun, manakala Masyitah pula adalah penyisir rambut anak Fir’aun. Mereka amat taat dan beriman kepada Allah SWT namun, mereka berjaya merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan Fir’aun.
Disebabkan Hazaqil menentang Fir’aun kerana menjatuhkan hukuman mati kepada seorang ahli sihir yang menyatakan keimanannya terhadap Allah, maka beliau turut dijatuhkan hukuman mati. Hazaqil menemui ajalnya dengan tangan terikat pada pohon kurma dan tubuhnya penuh dengan ditembusi anak panah. Isterinya, Masyitah sangat bersedih atas kematian suaminya itu.
Pada suatu hari, sewaktu Masyitah sedang menyisir rambut puteri Fir’aun, tanpa sengaja sisir tersebut terjatuh ke lantai, lalu Masyitah pun berkata tanpa disangka-sangka:
“Dengan nama Allah, binasalah Fir’aun.”
Disebabkan marah, anak Fir’aun telah mengadukan perkara tersebut kepada ayahnya. Lalu, Masyitah pun dipanggil oleh Fir’aun untuk disoal siasat.
Ketika disoal sama ada benar atau tidak dia menghina Fir’aun, Masyitah mengiyakan tanpa rasa takut atau gentar. Lalu, Fir’aun menjadi murka. Dua pilihan diberi kepada Masyitah, samada dia mengatakan Fir’aun adalah Tuhan yang patut disembah atau jika dia ingkar, dia dan anak-anaknya akan dimasukkan ke dalam kuali yang sedang mendidih minyaknya.
Masyitah tetap dengan keimanannya. Namun, dia merasa sedikit ragu apabila melihat wajah kedua anaknya. Namun, dengan kekuasaan Allah SWT, anak yang masih menyusu itu berkata;
“Jangan bimbang wahai ibuku. Ini kerana kita semua akan memperolehi ganjaran yang hebat daripada Allah SWT. Pintu syurgaNya akan terbuka luas menunggu kedatangan kita.”
Lantas, tanpa sedikit pun rasa takut, Masyitah terus terjun ke dalam kuali berisikan minyak panas yang sedang menggelegak itu bersama kedua anaknya. Tiada sebarang tangisan ataupun jeritan yang kedengaran. Malahan keajaiban telah terjadi dengan kehendak Allah. Minyak yang sedang menggelegak itu tiba-tiba mengeluarkan haruman yang semerbak.
Demikianlah kisah Masyitah. InsyaAllah, semoga kita semua akan dapat mengambil hikmah dan mengikuti jejak langkahnya, meninggal di dalam keadaan yang teguh menggenggam Kalimah Tauhid yang agung.
--------------------------------------------
Letakkanlah diri kita sekarang di dalam situasi yang dialami oleh Masyitah. Adakah kita akan tetap memegang Tauhid Allah, atau sanggup kita melepaskan Islam & Allah kerana takut dengan minyak yang mendidih & menggelegak itu?
Sesungguhnya, tetaplah berpegang teguh kepada Allah. Berpeganglah pada hukum Allah, dari Dia kita datang, maka, kepada Dia jugalah kita kembali..
Bila mana hati terasa lemah, & iman terasa rapuh, sabar terasa ingin berderai, harapan terasa sudah berkecai... renungilah kembali sirah-sirah lepas yang melakarkan kehebatan insan-insan yang meletakkan tawakal & menyerahkan seluruhnya kepada Allah, sesungguhnya kekuatan & kehebatan mereka-mereka ini datangnya adalah daripada Allah.
Allah telah memberikan kekuatan, keyakinan & keberanian kepada mereka untuk tetap berpegang kepadaNya kerana mereka sentiasa yakin & percaya dengan kekuasaan & pertolongan Allah. Pengajaran inilah yang paling penting untuk kita semua agar iman kita akan terus dikukuhkan oleh Allah. insyaAllah..
Mudah-mudahan, kembalinya kita kelak, walau tidak seharum pusara serikandi agung Masyitah, sekurang-kurangnya, dapatlah kita meraih keredhaan Allah.. amiin ya rabbal 'alamin..
Allahumma inni as aluka ridhoka wal jannah, ya Allah..
Wallahu 'alam...
2 suRat ciNtA:
;]
@zyralleeya :))
Post a Comment